Rabu, 11 Disember 2013

Semuanya tentang mereka berdua ♥

Walaupun berat rasa hati nak menulis entry kali ini, namun saya gagahi juga.

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga bwsar yang terdiri daripada 9 orang adik beradik. Saya anak yang ke enam. Saya ada 2 orang abang, 3 orang kakak, 2 orang adik lelaki dan seorang adik perempuan.

Kami sangat rapat kerana membesar dalam kasih sayang bapa dan emak yang amat mementingkan nilai positif dalam diri kami. Walau pun keluarga kami besar, keperluan kami sentiasa bapa penuhi dan sedari kecil saya sedar akan hal itu.



Bapa saya bernama Ahmad Kiprawi bin Hj. Hassan. Dilahirkan pada 10 Mac 1945. Seorang bapa yang tegasnya dalam diam. Tanpa suara kami didisiplinkan. Deheman sahaja sudah mampu membuat kami membisu.
Kenangan yang paling bitter sweet bagi saya adalah semasa bapa menghantar saya ke Miri untuk menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Sains Miri. Ketika itu cuti hampir tamat dan atas rasa tanggungjawab bapa menemankan saya menaiki bas ke Miri kerana sahabat yang lain telah balik menaiki kapal terbang dan ada yang jauh dari kampung kami. Paling saya sedih, bas yang kami naiki bocor bumbungnya dan apabila hujan tempiasnya membasahi bapa. Tanpa sepatah rungutan bapa berpindah mencari tempat duduk lain untuk kami. Sejak hari itu azam saya untuk belajar bersungguh - sungguh dan memberikan yang terbaik untuk emak dan bapa tersemat dalam hati saya. Itulah kekuatan di saat saya berasa malas dan lemah. Tapi Allah lebih menyayangi bapa. Pada 27 Jun 2000, bapa telah pergi selamanya. Pemergian mengejut bapa hampir membuat saya patah semangat yang ketika itu baru di tahun pertama Unimas.

Namun saya segera bangkit kerana saya masih ada emak yang memerlukan kami. Emaklah sumber kekuatan saya sekarang. Menghadapi pelbagai dugaan menyekolahkan kami seorang diri tidak membuat emak lemah. Tempat bergantung telah tiada. Namun, tanpa kami sedari, bapa seolah telah membuat persediaan untuk meninggalkan kami.

Emak saya, wanita cantik bernama Khadijah binti Sa'at. Membesarkan kami sehingga kami berjaya. Walaupun diri beliau tiada pelajaran tinggi namun emak tetap nak anak-anaknya berjaya dalam hidup. Alhamdulilah.

Emak yang saya kenal sangat tabah orangnya. Tiada air mata di hari bapa meninggalkan kami bukan bermakna emak tidak berduka. Aku tahu emak tidak mahu anak-anaknya lemah. Semangat emaklah yang membuatkan kami terus melangkah dan berjaya dalam hidup.

Ya Allah..Kau ampunilah dosa kedua ibu bapa kami. Tempatkanlah bapa di antara orang yang Engkau kasihi. Panjangkan umur emak agar kami dapat membalas walau secebis jasanya. Jadikanlah kami dan zuriat kami insan yang faham agamaMu, soleh dan solehah. Amin.

Al Fatihah untuk bapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan